Sunday, April 8, 2012

MERAH SILU

Prosa Tradisional
(Merah Silu)
Sumber : Bahagian Pembangunan Kurikulum (KPM)
 
Sinopsis
 
Kisah bermula apabila Merah Gajah yang berkahwin dengan Puteri Betong telah dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Merah Silu dan Merah Hasum. Pada awalnya Merah Gajah tidak mengetahui isterinya mempunyai sehelai rambut berwarna keemasan di tengah kepala sehingga beliau terpandang isterinya menyikat rambut. Merah Gajah mahu mencabut rambut tersebut tetapi dihalang oleh isterinya. Sewaktu Puteri Betong tidur, Merah Gajah telah mencabut rambut tersebut menyebabkan keluar darah dari liang-liang rambut sehingga menyebabkan kematiannya.
 
Berita kematian Puteri Betong telah menimbulkan kemarahan ayahandanya Raja Muhammad dan mengambil tindakan membunuh Merah Gajah. Ayahanda Merah Gajah iaitu Raja Ahmad telah bertindak balas menyerang Raja Muhammad sehingga berlaku peperangan sengit menyebabkan kedua-duanya terbunuh termasuk sebilangan besar rakyat. Hanya yang tinggal Merah Silu dan Merah Hasum serta beberapa rakyat yang masih hidup dan mengaku taat setia kepada kedua-duanya untuk terus tinggal di negeri Semerlanga itu.
 
Merah Silu dan adiknya Merah Hasum berhasrat meninggalkan negeri itu kerana tidak ada sesiapa lagi kaum kerabatnya yang tinggal. Mereka berdua keluar meninggalkan negeri Semerlanga menuju ke sebuah negeri bernama Beruana. Mereka membuka perkampungan di tepi sungai. Suatu hari ketika di sungai, Merah Silu terlihat banyak ikan dan dia pergi ke hulu sungai menahan bubu. Beberapa kali bubu yang ditahannya dipenuhi dengan cacing gelang-gelang. Akhirnya dia mengambil keputusan membawa balik cacing gelang-gelang itu dan merebusnya di dalam kawah. Cacing itu telah bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak menyebabkan Merah Silu menjadi kaya.
 
Merah Hasum hanya diam apabila mendengar berita Merah Silu menjadi kaya. Pada suatu hari , Merah Silu menangkap kerbau liar tetapi tindakannya itu tidak disenangi oleh Merah Hasum kerana pada pendapatnya kerja itu tidak berfaedah dan hanya memalukan dirinya sebagai saudara kepada Merah Silu. Merah Hasum telah meminta Merah Silu menghentikan perbuatan tersebut dan menyuruh Merah Silu keluar dari negeri itu jika tidak mahu mendengar katanya. Akhirnya Merah Silu mencari petempatan baru dengan membawa segala harta dan kerbaunya. Merah Silu tiba di hulu Karang dan menetap di situ tetapi kehadirannya tidak disenangai oleh penduduk kampung kerana kerbau-kerbau itu memakan tanaman mereka.
 
Merah Silu berpindah lagi ke sebuah negeri bernama Buluh Telang. Di sini beliau bertemu dengan Megat Iskandar dan menyatakan hasratnya untuk tinggal di negeri tersebut dan menganggap Megat Iskandar sebagai bapanya. Megat Iskandar bersetuju membenarkan Merah Silu tinggal di situ dan boleh memelihara kerbau kerana ada ladang yang luas. Merah Silu suka menyabung ayam dan selalu memberi kerbau sebagai hadiah kepada sesiapa yang menyabung ayam dan yang menontonnya. Megat Iskandar dengan persetujuan pembesar dan rakyat telah melantik Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun. Sultan Maliku’l- Nasar tidak bersetuju dan menyerang Merah Silu. Beberapa siri peperangan berlaku antara Merah Silu dengan Sultan Maliku”l- Nasar dan akhirnya sultan tewas dan Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun.
 
Tema
 
Ketabahan seorang anak raja dalam menghadapi cabaran hidup.
Merah Silu menjadi yatim piatu setelah kematian kedua-dua ibu bapa dan terpaksa merantau dengan adiknya Merah Hasum meninggalkan Semerlanga dan membuka petempatan baru di Beruana. Merah Silu terpaksa berpindah lagi kerana sikapnya tidak disenangi oleh adiknya. Dia berpindah ke Hulu Karang tetapi tidak disukai oleh penduduk di situ kerana kerbau-kerbaunya telah merosakkan tanaman mereka. Merah Silu menetap pula di Buluh Telang apabila dipelawa oleh Megat Iskandar. Merah Silu menghadapi beberapa peperangan dengan Sultan Maliku’l-Nasar sehingga dia dirajakan di Rimba Jerun.
 
Persoalan
 
1. Persoalan perselisihan antara adik-beradik
Perselisihan faham antara Merah Silu dengan Merah Hasum kerana tindakan Merah Silu yang menangkap kerbau liar tidak disukai oleh Merah Hasum dan dianggap memalukannya.
 
2. Persoalan perkara di luar logik akal
Keistimewaan seseorang keturunan raja digambarkan dengan peristiwa aneh misalnyanya cacing gelang-gelang yang direbus oleh Merah Silu bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak.
 
3. Persoalan keberanian anak raja
Merah Silu menghadapi beberapa peperangan dengan Sultan Maliku’l-Nasar sehingga dia dirajakan di Rimba Jerun.
 
4. Persoalan sikap pemurah dalam kalangan masyarakat
Merah Silu yang suka menyabung ayam memberi hadiah seekor kerbau kepada orang yang terlibat menyabung ayam dan juga kepada yang hanya datang melihat sahaja malah dia juga memberi semula wang pertaruhan kepada mereka yang kalah.
 
5. Persoalan kegemaran berjudi dalam kalangan masyarakat
Merah Silu suka menyabung ayam dan mengunakan wang pertaruhan .
 
Watak dan Perwatakan
 
Watak Utama
 
Merah Silu
 Anak sulung Merah Gajah dengan Puteri Betong
 Mempunyai saudara bernama Merah Hasum
 Menjadi yatim piatu sejak kecil setelah kematian ibu dan ayahnya
 Kaya - Cacing gelang-gelang yang direbusnya bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak.
 Suka menyabung ayam – Ramai juara sabung ayam datang bermain menyabung dengan Merah Silu.
 Seorang yang tidak berputus-asa- Merah Silu berulang kali menahan bubu walaupun hasilnya hanya cacing gelang-gelang.
 Seorang yang berani- Merah Silu terlibat dalam beberapa siri peperangan.
 Seorang yang pemurah- Merah Silu suka memberi hadiah kerbau kepada sesiapa yang terlibat dalam sabung ayam.
 
Watak Sampingan
 
1. Merah Hasum
 Adik kepada Merah Silu
 Menghormati saudara- Dia bersetuju dengan pandangan Merah Silu untuk berpindah dari negeri Semerlanga.
 Tidak suka perkara sia-sia- Dia marahkan Merah Silu kerana menangkap kerbau liar.
 Bersikap tegas – Dia menyuruh Merah Silu meninggalkan Beruana jika tidak mahu menghentikan perbuatan menangkap kerbau liar.
 
2. Megat Iskandar
 Saudara kepada Megat Kedah dan Sultan Maliku”l-Nasar.
 Tinggal di Buluh Telang.
 Mempunyai ladang yang luas.
 Bapa angkat kepada Merah Silu.
 Tetap pendirian - Dia berperang di Kumat dengan saudaranya Sultan Maliku’l-Nasar yang tidak bersetuju Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun
 Seorang yang menghormati tetamu - Dia menjamu Merah Silu semasa kedatangan Merah Silu ke Buluh Telang.
 
3. Sultan Maliku”l- Nasar
 Adik kepada Megat Iskandar dan Megat Kedah
 Tegas- Dia tidak bersetuju dengan tindakan Megat Iskandar untuk melantik Merah Silu di Rimba Jerun.
 Mempertahankan haknya sebagai raja di Rimba Jerun
 Berani – Dia berperang dengan Megat Iskandar di Kumat.
 
Latar
 
Latar Tempat
 
1. Negeri Semerlanga
 Peperangan antara Raja Ahmad dengan Raja Muhammad menyebabkan kedua-duanya terbunuh.
 Tempat asal Merah Silu dan Merah Hasum sebelum keluar merantau.
 
2. Beruana
 Perkampungan baru yang dibuka oleh Merah Silu dan Merah Hasum.
 Cacing gelang-gelang yang memenuhi bubu Merah Silu yang ditahannya di hulu sungai telah direbus dan bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak menyebabkan Merah Silu menjadi kaya.
 
3. Kerbau Kampung
 Tempat Merah Silu menangkap kerbau liar.
 
4. Hulu Karang
 Merah Silu tidak disukai oleh penduduk di situ kerana kerbau-kerbau Merah Silu merosakkan tanaman padi dan pisang mereka.
 
5. Negeri Buluh Telang
 Menetap di situ setelah dipelawa oleh Megat Iskandar.
 Tempat Merah Silu mengamalkan hobinya menyabung ayam.
 
6. Rimba Jerun
 Peperangan antara Sultan Maliku”l-Nasar dengan Merah Silu.
 Merah Silu menjadi raja di sini setelah Sultan Maliku’l-Nasar ditewaskan oleh Megat Iskandar di Kumat.
 
Latar Masa
 
1. Bermula dari kelahiran Merah Silu hingga dilantik menjadi raja di Rimba Jerun.
2. Waktu malam – semasa Puteri Betong tidur dan Merah Gajah mencabut sehelai rambut Puteri betong yang berwarna keemasan menyebabkan kematiannya.
3. Waktu siang - Merah Silu pergi ke tepi sungai dan ternampak banyak ikan.
 
Latar Masyarakat
 
1. Golongan bangsawan – Merah Silu, Merah Hasum, Puteri Betong, Merah Gajah, Raja Ahmad, Raja Muhammad, Megat Iskandar,Megat Kedah, Sultan Maliku’l-Nasar
2. Masyarakat yang suka menyabung ayam - Ramai juara sabung ayam datang bermain menyabung dengan Merah Silu.
3. Golongan bawahan – orang yang diupah untuk mengorek lubang besar (anderak) bagi menangkap kerbau liar
 Golongan askar – golongan yang terlibat dalam beberapa siri peperangan.
 Masyarakat yang suka membantu - Megat Iskandar mempelawa Merah Silu menetap di situ.
 
Gaya Bahasa
 
1. Bahasa Klasik – anderak, dibantunnya), senawat
2. Bahasa istana - baginda, adinda, kakanda , anakanda
3. Bahasa Arab – berkat , Allah Taala
4. Personifikasi – matahari mati
5. Metafora – kerbau jalang
6. Hiperbola
- Bukit yang dilalui Merah Silu menjadi lekuk bekas kerbau itu berjalan .
- Besarnya anderak itu sekadar muat kerbau dua tiga ratus.
 
Nilai
 
1. Nilai Taat Setia – rakyat mematuhi perintah raja untuk berperang sehingga melibatkan banyak kehilangan nyawa.
2. Nilai Murah Hati - Merah Silu menghadiahkan seekor kerbau kepada setiap orang yang hadir ke gelanggang sabung ayam.
3. Nilai Keberanian - - Merah Silu berani berperang menentang Sultan Maliku’l-Nasar untuk menjadi raja di Rimba Jerun.
4. Nilai Berdikari – Merah Silu keluar mencari petempatan baru sendirian setelah dihalau oleh Merah Hasum.
 
Pengajaran
 
 Kita hendaklah menyelesaikan masalah yang timbul melalui rundingan bukannya peperangan.
 Kita hendaklah berani mempertahankan maruah supaya hak kita tidak diganggu- gugat.
 Kita hendaklah menghormati tetamu.
 Kita janganlah menganiayai binatang.
 Kita hendaklah menyelidik dahulu sesuatu perkhabaran sebelum mengambil sebarang tindakan.

Saturday, November 5, 2011

PANTUN EMPAT KERAT (JENAKA DAN SINDIRAN)

Apa guna berkain batik,
Kalau tidak memakai capal;
Apalah guna beristeri cantik,
Kalau tak pandai menumbuk sambal.

Dari Kelang lalu ke Jawa,
Naik sigai ke atas atap;
Ikan kering lagi ketawa ,
Mendengar tupai membaca kitab.

Ambil segulung rotan saga,
Suruh diambil mari diurut;
Duduk termenung harimau tua,
Melihat kambing mencabut janggut.

Kupu-kupu terbang melintang,
Kayu tumbang tepi pengkalan;
Hairan sekali hati saya,
Burung terbang disambar ikan.

Maksud
R1- Isteri yang cantik dianggap tidak berguna sekiranya tidak pandai memasak.
R2- sindiran terhadap orang yang tidak berilmu tetapi menunjuk-nunjukkan kemahirannya. Sikap ini membuatkan dirinya ditertawakan oleh orang lain.
R3- sindiran terhadap orang yang telah kehilangan kuasa, mereka tidak dapat berbuat apa-apa lagi terhadap rakyat biasa.
R4- sesuatu perkara yang menimbulkan kehairanan apabila orang atasan berjaya dijatuhkan oleh orang bawahan.

Tema
Pantun ini bertemakan sindiran untuk memberikan pengajaran kepada kita.

Kata kunci
v  Bertanggungjawab
v  Merendah diri
v  Keyakinan diri

Persoalan
v  Persoalan tentang tanggungjawab seorang wanita. Wanita seharusnya tahu membuat kerja rumah, bukanlah hanya menjaga penampilan diri sahaja.
v  Persoalan tentang sikap merendah diri.  Sesuatu perkara yang bukan dalam bidang kemahiran kita perlulah dirujuk kepada merekaya yang lebih arif.
v  Persoalan tentang keyakinan terhadap diri sendiri. Keyakinan diri yang tinggi akan menghapuskan tanggapan negatif orang lain terhadap diri kita.
Nilai
v  Nilai bertanggungjawab. Wanita seharusnya tahu membuat kerja rumah, bukanlah hanya menjaga penampilan diri sahaja.
v  Nilai merendah diri.  Sesuatu perkara yang bukan dalam bidang kemahiran kita perlulah dirujuk kepada merekaya yang lebih arif.
v  Nilai keyakinan. Keyakinan diri yang tinggi akan menghapuskan tanggapan negatif orang lain terhadap diri kita.

Pengajaran
v  Kaum wanita bertanggungjawab untuk belajar melakukan kerja rumah. Urusan-urusan di dapur haruslah dipelajari oleh kaum wanita bukanlah hanya menjaga penampilan diri sahaja.
v  Kita haruslah bersikap merendah diri.  Sesuatu perkara yang bukan dalam bidang kemahiran kita perlulah dirujuk kepada merekaya yang lebih arif.
v  Kita haruslah mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri. Keyakinan diri yang tinggi akan menghapuskan tanggapan negatif orang lain terhadap diri kita.

CERPEN PUNGUT @ZAHARA@YAP SIEW HONG


 Sinopsis

Perjalanan kehidupan Mak Timah dalam membesarkan anak angkatnya yang cacat selama 24 tahun. Kisah bermula dengan imbas kembali peristiwa Mak Timah yang mengambil anak angkatnya yang digelar Pungut (diberi nama Zahara, nama asal Yap Siew Hong) yang diambil dari keluarga Bibik yang berketurunan Cina. Pada peringkat awal Mak Timah berharap saiz Pungut akan berubah apabila dia besar dan boleh membantunya apabila dewasa tetapi sebaliknya pula berlaku malah Pungut jadi bisu dan pekak serta tidak boleh menguruskan dirinya sendiri. Hal ini disebabkan Pungut mengalami kecacatan kekal hingga dewasa dan Mak Timah terpaksa menguruskan segalanya. Mak Timah berdoa agar Tuhan mengambil nyawa Pungut dahulu sebelum dia meninggal dunia.

Tema
 Kesabaran seorang ibu angkat (Mak Timah) menjaga anak yang cacat anggota (Pungut)

Persoalan
1. Persoalan tentang ketabahan dalam menjalankan tanggungjawab yang berat. Mak Timah tetap menguruskan Pungut yang cacat walaupun ketika Mak Timah sedang sakit.

3. Persoalan keikhlasan dalam memberi kebajikan tanpa mengharapkan balasan. Mak Timah selalu berdoa kepada Tuhan agar mengambil nyawa Pungut dahulu sebelum mengambil nyawanya kerana dia tahu tidak ada sesiapapun akan memelihara Pungut.

4. Persoalan tentang kasih sayang. Ibu angkat (Mak Timah) mengasihi anak angkatnya Pungut dan memeliharanya sehingga sudah berusia 24 tahun.

Plot
 Secara keseluruhannya, plot cerpen ini disusun secara kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:

(i) Permulaan
Pembaca diperkenalkan dengan watak Pungut yang bertingkah laku seperti orang kurang upaya dan dijaga keperluannya oleh Mak Timah sepanjang masa.
 (ii) Perkembangan
Mak Timah terkenangkan peristiwa 24 tahun lalu bagaimana dia mengenali Bibik dan mengambil anak Siew Lan yang baru dilahirkan sebagai anak angkat yang sah kerana tidak sampai hati apabila mengetahui bayi itu akan dibuang.

 (iii) Konflik
Konflik timbul apabila anak Mak Timah mula bertengkar tentang Pungut dan mencadangkan agar Pungut dihantar ke rumah kebajikan.

(iv) Peleraian
Mak Timah terus menjaga Pungut dan berdoa agar Pungut mati terlebih dahulu sebelum dirinya.

Teknik Plot / Teknik Penceritaan
1. Pemerian
Dia tergigil-gigil. Mulutnya mengeluarkan bunyi macam suara nyamuk, berdenggung-denggung. Kepalanya di geleng-gelengkan ke kiri dan ke kanan dengan pantas. Kemudian dia meluru masuk bilik…

2. Monolog
“Mungkin Tuhan nak uji kesabaran aku, menjaga dia, “fikir Mak Timah.

3. Dialog
“Mengapa Bik?” Mak Timah bertanya.
“Siew Lan.” Jawabnya lambat.

4. Imbas kembali
..Mak Timah terbayangkan kisah yang berlaku dua puluh empat tahun lalu…

Watak dan Perwatakan
Watak Utama
1. Mak Timah
 Perempuan tua
 Selalu sakit-sakit
 Ibu angkat Pungut
 Ikhlas menjaga Pungut. Mak Timah sanggup menjaga Pungut selagi dia masih hidup.
 Tabah dan sabar menghadapi dugaan. Mak Timah tetap menjaga makan minium dan kencing berak Pungut walaupun dia tidak bermaya kerana sakit.

 Watak Sampingan
2. Pungut / Zahara bt Muhamad @ Yap Siew Hong
 Berusia 24 tahun.
 Cacat fizikal dan mental (terpaksa semua dibantu) dijangkakan tidak hidup lama oleh doktor.
 Anak angkat Mak Timah.
 Bertubuh sangat kecil (pekak dan bisu).

3. Bibik
 Nenek Pungut.
 Berbangsa Cina peranakan.
 Percaya kepada ramalan loktang. Bibik tidak suka akan Pungut kerana dia percaya kata-kata loktang bahawa Pungut membawa sial.

Latar
Latar Masa
1. Tahun 1957 ketika Pungut dilahirkan
2. 24 tahun selepas Pungut dewasa

Latar Tempat
1. Rumah sewaan Bibik tempat tinggal Mak Timah
2. Rumah lelaki anak bongsu Mak Timah.

Latar Masyarakat
1. Masyarakat majmuk (bangsa Cina dan Melayu) . terdapat keluarga Siew Lan an keluarga Mak Timah.
2. Masyarakat yang percaya kepada bomoh (ramalan Loktang). Bibik amat percaya dengan ramalan Loktang tentang Siew Lan.
3. Masyarakat yang simpati terhadap golongan kurang upaya. Mak Timah kasihan dengan nasib Siew Lan yang akan di buang lalu sanggup memeliharanya
Gaya Bahasa
1. Kata ganda
Contoh: digeleng-gelengkan

2. Bahasa pasar
Contoh: sueh, loktang

3. Sinkope
Contoh: nak, kau

4. Personifikasi
Contoh : kelakuannya tak ubah macam wayang patung

Nilai
1.     Nilai ketabahan. Mak Timah tetap menguruskan Pungut yang cacat walaupun ketika Mak Timah sedang sakit.
2.     Nilai keikhlasan. Mak Timah hairan memikirkan orang sekarang yang tidak ikhlas dalam membantu orang lain. Dia tidak membenarkan anak lelakinya menghantar Pungut ke rumah kanak-kanak cacat.
3.     Nilai kasih sayang. Ibu angkat (Mak Timah) mengasihi anak angkatnya Pungut dan memeliharanya sehingga sudah berusia 24 tahun.


Pengajaran
1.     Kita haruslah tabah menghadapi dugaan hidup. Mak Timah tetap menguruskan Pungut yang cacat walaupun ketika Mak Timah sedang sakit.
2.     Kita haruslah ikhlas memberikan pertolongan. Mak Timah hairan memikirkan orang sekarang yang tidak ikhlas dalam membantu orang lain. Dia tidak membenarkan anak lelakinya menghantar Pungut ke rumah kanak-kanak cacat.
3.     Kita haruslah bersikap penyayang. Ibu angkat (Mak Timah) mengasihi anak angkatnya Pungut dan memeliharanya sehingga sudah berusia 24 tahun.








Cerpen Pungut @ Zahara @ Yap Siew Hong
(Mohammed Latif Mohammed)

 Sinopsis

Perjalanan kehidupan 1._________________dalam membesarkan anak angkatnya yang cacat selama 2.________________. Kisah bermula dengan imbas kembali peristiwa Mak Timah yang mengambil anak angkatnya yang digelar 3.________________(diberi nama Zahara, nama asal Yap Siew Hong) yang diambil dari keluarga Bibik yang berketurunan 4.________________. Pada peringkat awal Mak Timah berharap saiz Pungut akan berubah apabila dia 5.________________ dan boleh membantunya apabila dewasa tetapi sebaliknya pula berlaku malah Pungut jadi 6.________________ dan pekak serta tidak boleh menguruskan dirinya sendiri. Hal ini disebabkan Pungut mengalami 7.________________ kekal hingga dewasa dan Mak Timah terpaksa menguruskan segalanya. Mak Timah berdoa agar Tuhan mengambil nyawa 8.________________ dahulu sebelum dia meninggal dunia.





KECEK

1
Seorang pengarah
Membuka akaun semasanya
Di sebuah bank ternama
Tetapi dalam diam
Dia mencantum kemiskinan
Orang lain
Ke dalam amanahnya
Yang telah lama pecah.

2
Di kampung
Seorang petani
Membuka akuan kemiskinannya
Di ruang kedaifan
Dan mengunci sedozen anak-anaknya
Di dalam pagar sengsara
Tetapi dia tidak pernah mencantum
Kekayaan orang lain
Ke dalam getirnya
Yang sudah lama
Berumbi.

3
Di pantai
Seorang nelayan
Membuka akaun sengsaranya
Di rahang laut terngannga
Dan mengurung sederet anak-anaknya
Di bawah pusaran nasib
Tapi dia tidak pernah mengumpul
Kesenagan orang lain
Ke dalam kegusarannya
Yang telah lama sekian musim
Berlumut
Di papan hidupnya.

4
Tuhan tidak pernah mungkir
Mencatatkan setiap angka
Dan nilai hitungan paling kecil
Ke dalam akun-Nya
Di rumah keadilan.

MAKSUD
1
Seorang yang berjawatan pengarah dalam sebuah bank sibuk mengumpul kekayaan dengan hasil simpanan pelangan. Semasa menjalankan tugas dia begitu cilik pecah amanah dan menggelapkan wang. Perbuatan jenayah itu telah lama dilakukan.
2
Di kampung pula, seorang petani hidup dalam serba daif dan kekurangan. Dia tabah dalam membesarkan anak-anak dan menyara keluarga. Walaupun miskin, namun dia tidak pernah mengambil hak orang lain dalam usaha untuk keluar dari belenggu kemiskinan.
3
Di kawasan pantai, seorang nelayan juga dibelenggun kemiskinan. Anak-anaknya turut dibesarkan dalam keadaan kekurangan. Dia tidak pernah menggunakan hasil titik peluh orang lain sepanjang meniti kehidupan yang semakin menghimpit.
4
Setiap dosa dan pahala, kebaikan dan kejahatan setiap individu itu akan dicatatkan. Mereka akan mendapat pembalasan daripada Tuhan seperti yang telah dijanjikan.


Tema
Sikap amanah. Dalam mencari rezeki kita perlu amanah kerana wang yang diperoleh digunakan untuk menyara keluarga. Golongan yang berjawatan didapati sering kali pecah amanah untuk hidup mewah berbanding golongan berpendapatan rendah.

Persoalan
1.     Persoalan tentang sikap amanah ketika menjalankan tugas.
2.     Persoalan tentang kegigihan mencari rezeki.
3.     Persoalan tentang perasaan simpati terhadap golongan kurang berada.

Bentuk
1.     Terdiri daripada 4 rangkap
2.     Rangkap berbentuk bebas
a.      Rangkap 1 – 8 baris
b.     Rangkap 2 -11 baris
c.      Rangkap 3-12 baris
d.     Rangkap 4 –5 baris
3.     Rima akhir setia baris
a.      Rangkap 1 – abbcddba
b.     Rangkap 2 -abcdccedccb
c.      Rangkap 3-abcccdebcfgc
d.     Rangkap 4 –abcbd

Gaya bahasa
1.     Ayat pendek
2.     Aliterasi
3.     Asonansi
4.     Metafora

Nilai
1.     Nilai amanah. Apabila menjalankan tugas, laksanakan tugas dengan penuh amanah.
2.     Nilai kegigihan. Walaupun hidup dalam suasana miskin, sikap gigih amatlah penting untuk mencari rezeki.
3.     Nilai simpati. Perasaan ini perlu wujud terhadap golongan kurang berada.

Pengajaran
1.     Kita haruslah bersikap amanah ketika menjalankan tugas.
2.     Kita haruslah gigih untuk mencari rezeki.
3.     Kita haruslah sentiasa bersimpati terhadap golongan kurang berada.